Menguatkan Tekad dan Merangsang
Daya Juang di Zaman Terintang

 oleh

HAJI AHMAD MOHAMAD SAID
( Bekas Pengarah BPG )

MUQADIMAH

 Zaman ini penuh dengan keruwetan dan banyak rintangan justeru ia disebut sebagai zaman terintang. Darjah Rintangan (Adversity Quatient / AQ) ini menjadi semakin penting pada diri seseorang. Nampaknya orang tidak lagi melihat IQ atau Darjah Kecerdasan sebagai penting dan satu-satunya yang menentukan kebolehan, keupayaan dan kelebihan seseorang. IQ sahaja belum mencukupi untuk menghadapi segala pancaroba dan fitnah.

Orang yang meletupkan bangunan di Atlanta yang menyebabkan ramai kematian dan kecederaan, salah seorang daripada yang terlibat dalam misi tersebut telah berjaya mendapat PhDnya pada umur awal 20an. Namun begitu darjah kecerdasan yang tinggi belum cukup untuk mengawal diri dan emosinya.

Lebih-lebih lagi kita juga turut mempersoalkan peranan IQ kerana wujud motif tersirat untuk mendiskriminasi orang kulit hitam dan berwarna di Barat. Oleh itu dalam menggubal soalan-soalan ujian IQ tersebut, mereka membina soalan-soalan yang berkaitan langsung dengan budaya orang kulit putih. Kesannya orang kulit hitam dan kulit berwarna gagal menjawab kerana tidak terdedah kepada perkara tersebut. Implikasinya mereka gagal untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Orang-orang kulit hitam dan kulit berwarna akhirnya memberi tumpuan yang lebih kepada bidang sukan dan muzik sehingga mereka menjadi cemerlang dalam bidang sukan dan muzik.

Dalam hubungan ini, Daniel Goleman mencadangkan Emotional Intelegence (EQ) bagi melengkapi IQ seseorang. EQ menggambarkan emosi yang mapan, teguh dan stabil; membolehkan seseorang mampu menghadapi pancaroba sama ada untuk diri, keluarga, jamaah, masyarakat dan organisasi.

EQ mencerminkan kebolehan seseorang untuk berempati dengan orang lain, menangguh kehendak, mengawal perasaan, sedar diri, gigih dan berinteraksi secara berkesan dengan orang lain.

Dalam masa yang sama ahli-ahli dalam bidang pendidikan moral pula telah mencadang tentang peri pentingnya "Caring Quatient’ (CQ) dalam kehidupan manusia. Secara ontologinya, fitrah insan dalam dirinya dilengkapi dengan kasih sayang (sedia mengasihi dan dikasihi). Insan ini sifatnya jama`i, tidak seperti pulau yang boleh bersendirian. Insan perlukan jamaah dan masyarakat untuk bergaul. Justeru itu salah satu fitrah dalam masyarakat adalah kasih sayang.

Dalam kajian di sekolah-sekolah di Amerika dan Britain didapati bukan IQ sahaja yang menentukan keberkesanan sekolah, malah jika dibandingkan CQ lebih penting dalam memastikan keberkesanan sesebuah sekolah. Bahkan untuk menentukan kecemerlangan sesebuah organisasi dan keluarga, CQ dianggap amat penting.

 PRINSIP KEHIDUPAN INSAN

 Dalam konteks organisasi CQ dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan secara berkesan melalui amalan berikut;

  1. Kenal 

  2. Kenal mengenali amat penting dalam kehidupan insan. Bermula dengan kenal diri kemudian kenal Tuhan. Untuk mengenal diri yang zahir mungkin mudah tetapi untuk mengenali diri batin agak susah terutama mengenali hati budi. Apa yang dimaksudkan kenal satu sama lain bukan hanya aspek yang zahir tetapi termasuk batinnya juga.

    Justeru itu dalam konsep usrah (keluarga), `taaruf’ (kenal-mengenali) diletakkan sebagai rukun yang pertama. Daripada kenal nama, tempat tinggal dan keluarga serta hati budinya, malah apa-apa yang terlintas pada fikiran seseorang, sehingga apabila melihat wajah seseorang, kita dapat merasakan perasaannya dan tahu apa yang terkandung dalam fikirannya. Ini menimbulkan perasaan sepunya. Membolehkan seseorang dapat tumpang sedih dan gembira dengan apa yang dialami oleh seseorang.

  3. Perhubungan (relationship)
    Kenal sahaja tidak mencukupi bagi seseorang tanpa perhubungan dan komunikasi. Dalam aktiviti perhubungan ada adabnya yang disebut sebagai adab perhubungan. Jika tidak mematuhi adab dalam perhubungan ia jadi biadap dan menimbulkan kekusutan, kemarahan dan dendam kesumat atau terasa hati.

    Dalam konteks perhubungan, yang penting seseorang itu harus faham bahawa setiap orang ada harga diri atau maruah. Harga diri dan maruah sangat mahal harganya. Oleh itu harga diri dan maruah seseorang perlu dipelihara. Justeru itu elakkan daripada mempersenda dan menjatuhkan maruah orang lain.

    Dalam perhubungan seseorang itu ada nama dan kebiasaannya seseorang itu memiliki nama yang indah-indah. Sehinggakan pada nama itu ada maruah, kebanggaan dan keyakinan diri. Dalam Islam pada nama ada identiti, maruah, kebanggaan dan keyakinan. Sungguh pun seolah-olah perhubungan itu suatu yang mudah tetapi ia ada adab yang perlu dipelihara untuk jaga harga diri dan maruah sesama kita.

  1. Kebajikan

  2.  Tidak ada manusia di dunia hidup dalam keadaan sempurna. Manusia adalah makhluk yang baharu dan yang sempurna itu hanya Allah swt. Orang yang paling kaya pun tetap merasa tidak kecukupan. Harta mungkin cukup tetapi kasih sayang tidak akan cukup. Manakala orang miskin tidak cukup harta tetapi hati budinya kaya.

    Oleh kerana manusia itu sentiasa tidak sempurna, maka manusia perlukan orang lain untuk menjaga diri, moral dan materialnya. Sebab itu dalam maksud darjah kepenyayangan (CQ), semua manusia perlu bantuan. Ini boleh mendorong kita bersifat pemurah, suka menolong orang dan tidak kedekut atau bakhil.

  1. Kasihan Belas (compassion)

  2.  Kesihan belas merujuk kepada perasaan kasihan belas yang mendalam dalam diri seseorang. Apabila mendengar sesuatu kecelakaan atau kesusahan orang lain, ia bukan sekadar simpati tetapi turut merasainya secara mendalam, hati rasa sebak dan sedih. Perasaan yang timbul dari hati nurani yang halus. Natijahnya air mata seseorang boleh menitis hasil hatinya yang menangis. Air yang mengalir di luar adalah lanjutan jiwa yang merintih.

    Keprihatinan seumpama ini yang mendorong seseorang tidak boleh lena tidur kerana mengenangkan bencana kelaparan dan mengingatkan dosa yang dilakukan. Ini yang mencetuskan rasa keinsafan, ketulusan dan keinsanan, malah keikhlasan.

    Di peringkat ketulusan ini, hati nurani (dhomir) manusia yang berperanan tetapi yang sering menjadikan manusia mudah tergoda adalah peringkat emosi. Di peringkat perasaan biasanya tiada pertimbangan benar atau tidak benar. Tetapi dhomir lahir daripada ketulusan.

     
ADVERSITY QUATIENT (AQ)

 Suatu perkara yang penting untuk disedari dan diinsafi adalah hakikat bahawa kita sekarang berada dalam keadaan sukar. Kita perlu berada dalam kesedaran yang sebenar bahawa zaman mewah sudah berlalu. Kesedaran ini amat penting agar kita tidak terus menerus terpedaya dengan keadaan fizikal yang melingkungi kita. Menara tinggi seperti twin tower dan bangunan-bangunan tersergam indah serta sistem pengangkutan yang serba canggih menjadikan kita masih belum sedar bahawa kita berada di zaman yang susah dan kritikal. Amat malang jika apabila di sana sini sudah wujud bangunan-bangunan terbengkalai dan tidak terurus baru timbul kesedaran sebenar dan baru nak rasa susah, waktu itu sudah agak terlewat untuk bertindak.

Menurut Paul G. Stoltz dengan adanya AQ menjadikan dalam diri setiap manusia sentiasa wujud satu dorongan asas untuk terus mendaki (ascent) atau maju supaya mereka terus berhadapan dengan rintangan. Budaya terus mendaki dan terus maju ke hadapan perlu sentiasa wujud dalam diri seseorang. Namun tidak semua orang dapat menyerlahkan unsur AQ.

Daya juang ini ada dalam diri setiap insan tetapi tidak ramai orang mampu berjuang dan terus tabah. Justeru itu seseorang yang memiliki daya ketahanan yang hebat walau dalam apa keadaan dikatakan mempunyai AQ yang tinggi.

Dalam keadaan senang dan mewah AQ seseorang tidak teruji, tidak menonjol atau padam. Ini dikaitkan dengan sikap complacent, selesa dan berpada dengan keadaan. Implikasinya apabila timbul suasana susah sukar untuk sesuaikan. Fenomena ini menuntut kita mengembangkan AQ ke darjah yang tinggi dengan membangunkan kekuatan daya juang yang gigih untuk menghadapi cabaran.

Justeru itu pada diri manusia kekuatan daya juang penting. Walau pun kesabaran amat penting namun sabar sahaja tidak mencukupi. Ini menuntut kita supaya berjuang dan bersabar.

Analogi perjuangan yang hebat umpama pendaki Everest, risikonya tinggi dan cabarannya hebat sehingga yang mampu sampai ke kemuncak hanya seorang dua sahaja. Apabila menghampiri kemuncak oksigen semakin nipis dan kurang, saljinya tebal dan keadaannya terintang, tetapi pendaki terus berusaha kerana ia didorong oleh AQ yang luar biasa untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

Oleh itu untuk menjadikan BPG world class dan hebat kita perlu naikkan AQ ke tahap yang tinggi supaya tidak mudah mengaku kalah Satu kelemahan utama masyarakat kita ialah adanya sifat mengalah (defeatist attitude). Jika ada sifat ini apabila seseorang berhadapan dengan sedikit ujian ia akan mudah putus asa.

Jika AQ tinggi kita mampu mencapai kejayaan, kehebatan, kemenangan dan keluarbiasaan. Bagi membangkitkan AQ kita perlu menumbuhkan semangat pemburu dan bukan penternak, kerana seorang pemburu ia perlu lebih hebat daripada binatang yang diburu. Kita berkeyakinan bahawa Allah menjadikan manusia dengan keistimewaan, kehebatan, unik, lengkap dan luar biasa jika dibandingkan makhluk lain. Atas dasar inilah juga manusia diberi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Namun begitu telah menjadi fitrah alam yang sifatnya tertakluk pada perubahan antara positif dan negatif. Justeru itu manusia perlu sentiasa prihatin terhadap sebarang perubahan dan mampu melayaninya dengan penuh kebijaksaan.