Tuan Haji Hamzah Dalam Kenangan
( Ketua Unit PJK yang pertama )

Tuan Hj. Hamzah b. Ali telah dilahirkan di Kampung Raja, Besut, Terengganu pada 29 Disember 1944. Anak kepada pasangan Ali bin Mohamd dan Hjh. Asiah bt. Hussain ini merupakan anak bongsu dari 6 adik beradik. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Fatimah bt. Ali dan dikurniakan 5 orang anak.

Pendidikan

Tn. Hj. Hamzah Ali mendapat pendidikan awal di Sek. Melayu Kampung Raja pada tahun 1951. Pada tahun 1958 seterusnya beliau telah bersekolah di Tengku Mahmud Secondary School (TMSS) sehingga tahun 1963. Setahun kemudian beliau ditawarkan mengikuti pelajaran untuk menjadi pendidikan di RTC Kuala Terengganu. Sebagai seorang guru yang aktif dalam bidang sukan, beliau pernah mengambil kursus Sijil Perguruan Khas dalam bidang Pendidikan Jasmani di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim pada tahun 1973. Pada tahun 1975 beliau menjadi calon off-campus USM dan mendapat Ijazah di dalam bidang Pengajian Melayu dan Sejarah pada tahun 1979.

Kerjaya

Hj. Hamzah Ali merupakan seorang yang aktif dalam bidang sukan sewaktu dibangku sekolah. Bola Sepak adalah sukan yang sangat diminatinya. Bagi beliau sukan dan perguruan saling berkait rapat. Oleh yang demikian beliau telah memilih profesion perguruan agar kerjaya dan hobinya dalam dijayakan serentak. Selain dari berbakti kepada anak bangsa dibangku sekolah beliau juga telah mengharumkan nama Negeri Terengganu dalam bidang Bola Sepak. Beliau adalah antara pemain Terengganu yang sebaris dengan nama-nama besar Bola Sepak negeri Terengganu seperti Dato' Abu Bakar Daud, Hj. Abdul Rahman Ibrahim dan lain-lain lagi.

Kerjayanya dalam bidang perguruan hampir seimbang dari segi waktu bertugas di sekolah dan di maktab. Selama 16 tahun banyak sekolah di sekitar Kuala Terengganu menjadi tempat beliau menabur bakti. Beliau pernah bertugas sebagai guru sandaran pada tahun 1965. Karier sebagai seorang pendidik bermula di Sek. Men. Panji Alam pada tahun 1966 sehingga tahun 1973. Kemudian di arah pula bertugas di Sek. Men. Tengku Bariah, Kuala Terengganu dari tahun 1974 sehingga tahun 1978. Setelah mendapat Ijazah dari USM beliau ditukarkan ke sekolah Men. Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Berikutnya pada 5 Januari 1980 beliau telah ditawarkan menjadi Pensyarah Pendidikan Jasmani di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bharu. Selepas hampir tiga tahun di sana, beliau ditukarkan ke Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit (MPKTBR) dan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Unit Pendidikan Jasmani sehingga persaraan beliau pada 28hb. Disember 1999.

Keperibadian

Tn. Hj. Hamzah Ali merupakan seorang yang tekun bekerja. "Do the Best" adalah motto kerjanya dan tidak hairanlah sehingga saat terakhir persaraan beliau, beliau tidak jemu-jemu mengcurahkan bakti menjalankan tugas dimaktab. Dikalangan stafnya beliau dikenali kerana prihatin dan keluhuran budinya.

Beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab dan terlibat mewujud dan mengasaskan KSPK PJ, KDPK PJ dan PKPG PJ di maktab ini. Bagi beliau ini merupakan antara kenangan manis beliau sewaktu bertugas di maktab. Beliau berhasrat dan ingin melihat kursus PJ mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Selain dari kerja-kerja di maktab, beliau juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Hoki Lelaki Terengganu. Sudah lebih 15 tahun beliau berkecimpong dalam kerja sukarela ini, dan sehingga sekarang beliau masih sibuk mengendalikan persatuan ini. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pendidikan Jasmani Malaysia cawangan Terengganu.

Sesunggunya persaraan Tn. Hj. Hamzah adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada maktab bahkan juga pada dunia pendidikan. Beliau saya anggap sebagai pejuang Pendidikan terutamanya Pendidikan Jasmani. Akhirnya didoakan agar beliau selamat dan berjaya di dunia dan diakhirat.
 


Link Ucapan

Ucapan Hj Ahmad Mohamad Said ( Bekas Pengarah BPG )